Kerajaan Hasyimiyah Jordan ialah sebuah negara yang terletak di Timur Tengah, tepatnya di jantung Bumi Syam. Ibu kota serta bandar terbesarnya ialah Amman, dengan penduduk majoritinya berbangsa Arab dan Bahasa Arab merupakan bahasa rasmi negara. Islam ialah agama dominan, dengan majoriti rakyat Jordan bermazhab Muslim Sunni.
Jordan mempunyai warisan sejarah dan budaya yang amat kaya, dengan tapak arkeologi penting antaranya Petra – yang disenaraikan sebagai salah satu daripada New 7 Wonders of the World, Kota Lama Jerash, serta Lembah Wadi Rum yang turut menjadi lokasi penggambaran filem terkenal seperti Star Wars, The Martian, dan Lawrence of Arabia. Jordan juga dikenali sebagai ‘Tanah Para Nabi’, kerana ramai Nabi diyakini mempunyai hubungan serta meninggalkan jejak mereka di bumi Jordan, antaranya Nabi Lut (As), Nabi Musa (As), Nabi Syu’aib (As), Nabi Yahya (As), Nabi Isa (As), dan Nabi Muhammad (As).
Kerajaan Hasyimiyah Jordan menganut sistem pemerintahan monarki berperlembagaan. Raja Abdullah II bin Al-Hussein, generasi ke-41 keturunan langsung Nabi Muhammad (Saw), telah bertakhta sejak tahun 1999. Baginda memegang tanggungjawab sebagai penjaga tapak suci agama Islam dan agama Kristian di Al Quds Al Sharif (Baitulmaqdis), termasuk Al-Masjidil Al-Aqsa.
Jordan juga terkenal dengan pertumbuhan ekonomi, keselamatan, dan kestabilan negara serta masyarakatnya. Kadar literasi di Jordan secara konsisten sentiasa tinggi berbanding negara-negara Arab lain, mencerminkan penekanan negara terhadap pendidikan. Dari segi bahasa, selain Bahasa Arab baku (Fusha), amat penting juga untuk memahami serta membiasakan diri dengan dialek-dialek serantau seperti dialek Jordan, Saudi, Mesir, dan Syria yang dapat dipelajari dengan baik di jantung Bumi Syam. Hal ini menjadikan Jordan sebagai persekitaran yang ideal untuk mempelajari bahasa Arab, di mana pendidikan dipandang mulia dan amat dihargai oleh masyarakatnya.